Kelebihan pergerakan dalam solat, satu kajian

Salam hari Jumaat.

Satu rencana yang bagus untuk dikongsi dan direnungi bersama. Dulu hanya pernah mendengar ceramah-ceramah mengenai kelebihan gerakan dalam solat. Mungkin juga ada yang tidak pernah mendengar mengenainya.

kajian-kajian sebegini kadang-kadang dilakukan bukan oleh orang Islam sendiri. Kadang-kadang pensyarah-pensyarah luar yang bukan penganut agama Islam banyak mengkaji mengenai amalan-amalan orang Islam sehingga memberikan mereka hidayah untuk menganut agama Islam sendiri.




di bawah ini adalah keratan Berita Harian yang dipetik dari sini

KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.

SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.

Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.

Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?

Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.

Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.

Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.

Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.

Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.

Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.

Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.

Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.

Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.

Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.

“Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.

Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.

Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

Nota Ringkas
: Sekali sekala 'copy paste' untuk berkongsi

{ 9 comments.. read them below or add one }

tunbegia tunbegia 26 March, 2010
sungguh insaf kannns,

salamm,
pak long pak long 26 March, 2010
salam buat naman...
syukur dapat info bermanfaat....moga ia memberikan hikmah pada diri ini...mekasih banyak buat naman
~Ikut Rentak Jari~ ~Ikut Rentak Jari~ 26 March, 2010
salammm...

info yg sangat berguna ..
dulu pernah gak uztaz kat sekolah agama bagitau kebaikan2 solat untuk anggota tubuh badan , tapi lama dah .. dan dah lupa jua ..
n@m@n n@m@n 27 March, 2010
to all~ sekadar berkongsi ;)
sensasi2020.blogspot.com sensasi2020.blogspot.com 25 May, 2012
Byk mafaat dpt dikongsi dlm artikel ini, t.kasih cikgu.
sensasi2020.blogspot.com sensasi2020.blogspot.com 25 May, 2012
Byk mafaat dpt dikongsi dlm artikel ini, t.kasih cikgu.
pipoq pipoq 28 May, 2012
setiap apa yang diciptakan Allah pasti tidak sia sia termasuk la solat tu sendiri..
SP (spudinpunya) SP (spudinpunya) 13 June, 2012
info yg sgt menarik untuk dikongsi :)