Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia Presint 8

Sudah beberapa minggu saya dengar di radio mengenai kewujudan Hospital Bersalin Beisiko Rendah 1Malaysia di Presint 8 ni. Dan hari ini dengan rasminya Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penubuhan Hospital Bersalin Berisiko Rendah ini saya rasa sangat baik. Ini kerana sebelum ni, warga Putrajaya sendiri pun ada yang 'ditendang' keluar ke Hospital kerajaan yang lain seperti di Kajang atau di Serdang apabila Hospital Putrajaya yang ada sekarang di Presint 7 tidak mampu menampung bilangan pesakit yang ramai. Ada ramai juga mereka dari luar yang mahu bersalin di Hospital Putrajaya, seperti kawan saya, dari Klang yang sanggup dari jauh datang ke sini buat check up untuk membolehkan mereka bersalin di sini.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Pusat Bersalin Berisiko Rendah ini bolehla baca artikel yang saya petik dari Sinar Harian online ini.

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia yang menawarkan perkhidmatan kelas satu dengan kadar bayaran serendah RM3.

Perdana Menteri berkata dengan bayaran serendah itu rakyat dapat menikmati layanan serta perkhidmatan setaraf dengan kemudahan Wad Kelas Satu dan diharapkan dapat membantu mengurangkan beban rakyat.

"Untuk seorang yang bersalin di sini hanya RM3 sahaja dikenakan termasuk rawatan, bilik, ubat-ubatan dan makanan...ini merupakan kadar bayaran yang barangkali terbaik dunia.

"Kemudahan yang disediakan sangat bermutu tinggi, bilik yang bersih serta selesa dan bagi penjawat awam tiada bayaran yang dikenakan," katanya pada sidang media selepas merasmikan pusat bersalin tersebut di sini.

Beliau berkata ia merupakan satu lagi perkhidmatan kesihatan yang baik disediakan kerajaan demi kepentingan rakyat untuk memperoleh rawatan sempurna dengan kadar bayaran sangat minima.

"Adalah menjadi harapan saya agar banyak lagi pusat seperti itu diwujudkan," katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmian itu, Najib berharap pusat yang dilengkapi dengan kemudahan rawatan fototerapi serta klinik untuk perkhidmatan antenatal dan ginekologi mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik dan selesa kepada masyarakat.

Pusat itu juga, katanya, akan menempatkan pakar obstetrik, ginekologi dan pediatrik yang bertugas pada setiap hari bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang berkualiti, profesional dan berkesan.

"Ia juga mampu memberikan keselesaan dan persekitaran yang kondusif kepada ibu-ibu kerana suami dibenarkan untuk menemani pasangan masing-masing selaras dengan konsep hospital mesra suami," katanya.

Pusat Bersalin itu mula beroperasi pada 30 Jan lepas di Presint 8, dengan menyediakan kemudahan kelahiran kes-kes bersalin berisiko rendah sahaja dan tidak terhad kepada penduduk Putrajaya.- Bernama
Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia Presint 8

0 comment... add one now