Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Ganti PMR


Semasa di bilik peperiksaan hari ini, riuh rendah cikgu-cikgu, ustazah-ustazah menceritakan keadaan di kelas tingkatan 2 dan 3 yang sedang mengambil ujian.

Cikgu Amy :Awat teruk sangat generasi PBS ni. Satu apa pun tak tahu. Yang asas pun duk tanya cikgu yang mengawas.

Cikgu Jah : 'Match' pun diorang tak tahu??

Banyak lagi cerita-cerita mengenai pelajar generasi PBS yang saya dengar tadi. Sudah nampak kesan daripada pelaksanaan PBS selama beberapa tahun ini ke atas pelajar. Ini mengingatkan saya pula kepada generasi PPSMI dulu yang tak tahu istilah bahasa melayu bagi sesetengah istilah sains, bahkan ada yang memberi alasan susah nak faham kalau ajar dalam Bahasa Melayu.



Berbalik kepada isu PBS, akhirnya teka teki mengenai PBS terjawab hari ni. Ia diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Maklumat PBS Terkini

Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru dan kesatuan-kesatuan guru, didapati terdapat tiga isu utama berkaitan perlaksanaan pentaksiran sekolah.

1. Penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak.

Bagi menangani isu ini, KPM telah menetapkan DSP dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid. Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.

Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri. Perekodan ini menggambarkan perkembangan pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian, guru tidak lagi dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui pernyataan evidens yang terlalu kompleks.

Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan mengadakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun sekolah.



2. Pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit.

Bagi menangani masalah ini, guru tidak perlu lagi menyediakan FPM dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.


3.Perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian (online) yang sukar diakses dan memakan masa yang lama

Oleh kerana bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah dikurangkan, secara otomatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat.

Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara offline.

PT3 Gantikan PMR


Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah. PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran Science, Mathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja.

Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian kes (case study).

Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.

Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima.


PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.


Moga-moga ini adalah penyelesaian terbaik buat sistem pendidikan kita. Kita mesti ingat, apa-apa sistem yang diperkenalkan, kesannya adalah kepada pelajar, bukan seorang, bukan dua, tetapi satu generasi.